21 Ogos 2009 - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden Yayasan Kepimpinan Perdana hadir merasmikan Pameran Tampannya Budi di Balai Seni Lukis Negara. Pameran ini adalah sebahagian hasil daripada sebuah projek penyelidikan berjudul “Tampannya Budi:Pengkalan Data Digital Seni Visual Melayu” yang telah dilaksanakan pada 2006 oleh Prof. Madya Salmah Abu Mansor, Felo Kanan, Institut Alam dan tamadun Melayu (ATMA), UKM, Bangi. Secara ringkas, pengkalan data ini mengumpulkan suatu senarai yang komprehensif mengenai pengkarya seni visual Melayu, termasuk maklumat biodata masing-masing, pamaparan karya utama mereka yang telah didigitalkan, kupasan kritis mengenainya dan kedudukan pengkarya di kalangan mereka.
Projek ini bertaraf projek perintis kerana usaha seperti ini belum pernah dilaksanakan sebelumnya. Apatah lagi ATMA sebagai sebagai sebuah institut penyelidikan mengenai Pengajian Alam Melayu difikirkan perlu membuka ruang ilmu untuk bidang ilmu visual. Bidang ini sering diabaikan malah terpinggir oleh kerana penekanan berlebihan terhadap kajian teks bercetak (printed text) mengenai Alam Melayu, sama ada dalam bentuk buku, hikayat, akhbar dan sepertinya. Justeru itu, kefahaman mengenai ‘teks’ secara automatis dikaitkan dengan bahan bercetak. Pada halnya, setiap karya seni visual itu juga merupakan ‘teks’ yang boleh dibaca, ditafsir dan dikupas oleh sesiapa saja, pakar dan bukan pakar, dengan menggunakan lensa masing-masing. Kefahaman konseptual ini telah membuka suatu jendela idea yang cukup menarik lagi penting bagi penyelidikan Prof. Madya Salmah.
Pameran yang memberi ruang dan peluang kepada semua para pengkarya yang berminat menggunakan ketajaman daya fikiran mereka untuk membaca, mentafsir, dan membina kefahaman mengenai puisi klasik pilihan mereka, yang mengandungi falsafah, pemikiran dan perlambangan sistem intelek Melayu tradisional yang berasaskan akal budi. Mempamerkan kepada khalayak umum Malaysia bukan sahaja betapa karya dan indahnya akal budi Melayu yang tersulam dalam puisi klasik Melayu bahkan juga betapa muluknya apabila diwajahkan dalam bentuk karya visual. Pameran yang memperagakan kepada khalayak umum suatu usaha perintis kerjasama yang menggabungkan tiga pihak: pertama, sumbangan ahli akademik yang berasaskan penyelidikan; kedua, usaha para pengkarya seni visual; dan ketiga, kepakaran professional kuritorial Balai Seni Lukis Negara (BSLN) Malaysia; dan menghasilkan sesuatu yang bermakna yang belum pernah terjadi sebelum ini..
____________________
Exhibition Open
10 Aug - 4 Sept 2009
Gallery 3A