Amron Omar adalah seorang seniman yang telah lebih 30 tahun bergelumang dalam dunia seni visual tanahair. Beliau telah banyak melahirkan karya catan, lukisan dan sketsa yang mempunyai kualiti visual yang amat terpuji. Daya visual karya-karya beliau amat tajam dan tuntas dari aspek persembahannya. Dari segi pelaksanaan visualnya, karya-karya beliau telah berada pada tahap advance (lanjutan/ tertinggi). Secara ringkas keadaan tersebut berlaku akibat dari tahap kepekaan, daya pemerhatian dan pencernaan beliau yang amat tajam dan berdisiplin dalam membina gubahan visualnya. Hal tersebut juga berlaku hasil dari kemahiran kawalan, kematangan dan kepekaan tinggi beliau dalam penggunaan bahantara dan medium seni yang digunakan.
Idea karya-karya Amron Omar pula yang kebanyakkannya berakar dari tradisi Melayu, khususnya dari dunia seni mempertahankan diri, telah mencetuskan satu keadaan dan fenomena yang berupaya membangkitkan semangat dan sifat ‘kedirian’ pemerhati Melayu/Islam dalam konteks tempatan. Selain itu karya-karya beliau telah berjaya secara intrinsiknya untuk menggambarkan sisi sifat budaya masyarakat Melayu tradisional dalam arus budaya kehidupannya. Keberadaan karya-karya Amron Omar juga secara umumnya telah berjaya memberi sifat tempatan (Timur) yang tulus, walaupun bentukan karyanya masih dalam kerangka Barat. Kesatuan yang harmoni di antara nilai Timur dan Barat tersebut telah berjaya diadunkan dengan sebegitu bijak, matang dan mengagumkan.
Berdasarkan sifat bentukan dan idea yang dinyatakan secara ringkas di atas, disertakan pula dengan sifat ketekalan kesenimanan yang ditunjukkan, tidak syak lagi bahawa Amron Omar adalah di antara seniman terbaik dan paling tekal yang pernah muncul dalam landskap seni moden Malaysia. Beliau telah membina reputasi tinggi dalam zahir karyanya, selain turut menyumbang secara signifikan kepada anjakan aras kualiti dalam konteks sejarah catan moden Malaysia.
ii
“PERTARUNGAN” adalah sebuah pameran perseorangan pertama bagi pelukis Amron Omar. Anak bongsu dari tiga belas adik-beradik ini telah dilahirkan di Alor Setar, Kedah dengan memulai dunia seni lukisnya semenjak awal lagi di bangku sekolah. Detik penghargaan dan perhatian oleh pihak sekolah terhadap lukisannya yang dihasilkan ketika dalam darjah satu iaitu ‘Tahan Taut’ yang telah menjadi penghias kulit hadapan Majalah Tahunan Sekolah Rendah Sungai Korok Baru pada tahun 1964, telah mencetuskan semangat, minat, kemahiran dan tahap penaakulan beliau terhadap seni lukis.
Sekitar tahun 1965, Cikgu Saidin, Guru Besar sekolah beliau telah menunjukkan karya lukisan berasaskan garis (line drawing) oleh Ibrahim Hussein yang juga merupakan saudara kepada gurunya, telah membina lagi persepsi dan pesona Amron terhadap seni lukis ketika itu.
Sekitar tahun 1965, Cikgu Saidin, Guru Besar sekolah beliau telah menunjukkan karya lukisan berasaskan garis (line drawing) oleh Ibrahim Hussein yang juga merupakan saudara kepada gurunya, telah membina lagi persepsi dan pesona Amron terhadap seni lukis ketika itu.
Bakat dan kemahuan Amron di dalam seni lukis juga telah didorong dengan kuat sekali oleh ayahnya iaitu Lebai Omar bin Jaafar, seorang yang sangat berkebolehan dalam pertukangan, masak-memasak dan juga sebagai guru Kuntau. Hal tersebut telah diperlihatkan melalui usaha ayahnya membina ‘topang lukisan’ (easel) sewaktu Amron berada di dalam darjah tiga pada tahun 1966.
Latihan dan kemahiran melukis figura secara tidak formal juga telah diasah oleh Amron melalui tempahan lukisan potret dan tunjuk ajar oleh bapa saudaranya, Tok Cik Hasan iaitu seorang pelukis poster wayang yang terkenal di Pekan Alor Setar. Melalui Tok Cik Hasan (orang yang mencipta imej bagi logo jenama ubat Cap Kaki Tiga), Amron memahami dua perkara penting tentang melukis figura iaitu yang pertama tentang menggunakan kaedah graf/grid dan keduanya tentang tona warna kulit.
Peristiwa dan kisah di atas telah menolak Amron mencari kebenaran ilmu melalui guru-gurunya di Institut Teknologi Mara (ITM) yang terdiri daripada Joseph Tan, Sulaiman Esa, Fauzan Omar, Ruzaika Omar Baseree, Chris Cunny, Ariffin Mohd Ismail, Choong Kam Kow dan beberapa nama yang lain secara formal.
Tekad dan nada Amron mencari jalan kesempurnaan diri cukup terserlah dari siri-siri karya ‘Pertarungannya’. Pertarungan adalah sebuah pameran yang merefleksi akan diri seorang Amron. Ianya sebuah pertarungan diri yang menyoal dan mencari jawapan dari proses yang panjang. Kadang-kadang jawapannya diterjemahkan dalam karya manakala sebahagiannya lagi diterjemahkan ke dalam perjalanan diri Amron. Sebahagian proses pertarungan tersebut telah dilalui secara sederhana dan mendasar oleh beliau.
iii
“PERTARUNGAN Amron Omar” memaparkan lebih 150 buah karya terpilih dari Siri “Pertarungan” yang diatur mengikut kronologi masa. Terdiri daripada karya cat minyak atas kanvas, karya-karya atas kertas dan board serta 608 keping karya lakaran atas tisu. Untuk itu, hasil kerja tangan Amron tersebut kami bahagikan kepada 2 Bahagian iaitu Bahagian Catan (paintings) di Galeri 3B dan Bahagian karya atas kertas (Works on paper) di Galeri 3A. Secara kolektifnya, hampir keseluruhan karya yang berada di dalam pameran ini dipinjamkan daripada para kolektor yang budiman dan begitu setia mengikuti perjalanan seni Amron
No comments:
Post a Comment