Thursday, March 29, 2012

Saksi dan Bukti



Koleksi Himpunan Tetap Balai Seni Visual Negara
dan Koleksi Pelukis Permanent Collection of the National
Visual Arts Gallery and Artist Collection
ANASSUWANDI dan FAUZULYUSRI


Pameran ‘Saksi dan Bukti’ ini mempamerkan sejumlah lakaran pelukis yang telah diperolehi oleh Balai Seni Visual Negara(BSVN). Pameran ‘Saksi dan Bukti’ ini menampilkan dua orang pelukis iaitu Anassuwandi dan Fauzulyusri. Sempena pameran ini, kumpulan kuratorial telah meminjam beberapa objek sokongan pelukis seperti peralatan, subject matter, bahan kajian, keratan suratkhabar,buku katalog, fotografi dan objek harian sebagai melengkapkan tema pameran ini.
Anassuwandi dan Fauzulyusri, bukan nama asing dalam dunia seni lukis moden di Malaysia. Kedua – duanya adalah anak kelahiran Kedah, disatukan dalam sebuah pameran ‘Saksi dan Bukti’. Menyatukan dua seniman ini dalam satu ruang pameran, ianya memberi satu impak hebat dimana sebahagian kesemua lakaran pelukis di pamerkan ini. Lakaran ini bukan bersifat ‘siap’,’cantik’ atau ‘ideal’. Lakaran merupakan satu proses di mana ada setengah lakaran tidak disempurnakan, komposisi ,kadar banding dan sebagainya tetapi ianya sebuah proses terhadap karya akhir mereka samada di atas permukaan kanvas atau kertas atau apa sahaja permukaan. Tiada perkataan ‘salah’ dan ‘benar’, kerana lakaran merupakan proses pemikiran seniman sewaktu masa tersebut yang direkodkan terus ke dalam bentuk, warna, nombor dan huruf.
Objektif pengumpulan lakaran pelukis ini dibawah kategori koleksi arkival BSVN bertujuan membina satu gedung perkongsian data dan ilmu pengetahuan di antara penyelidik, kurator dan masyarakat seni umumnya. Selain berhasrat BSVN sebagai pusat rujukan terpenting bagi penyelidik seni mengenali diri pelukis secara ‘intepretasi terbuka’ terhadap bukti yang di zahirkan.“Saksi”: orang yang mengetahui atau melihat sesuatu peristiwa(dan boleh memberi keterangan) dan “Bukti”: keterangan yang nyata, tanda kebenaran, dalil.
Penulis wacana kesenian atau sejarawan seni yang membicarakan tentang pelukis secara automatik merupakan saksi penting perkembangan pelukis. Rakaman audiovisual ( video, fotografi dan rakaman suara)kini sudah menjadi metod baru dalam menyaksikan ‘saksi’ memberi keterangan dan perspektif tentang diri atau karya pelukis itu sendiri.
Pameran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sesuatu yang sangat ‘rare’ kerana bukan kesemua lakaran, proses, perubahan, dan ide mereka di dedahkan kepada masyarakat seni dan ianya satu pendedahan ekslusif untuk masyarakat umum.
BSVN sentiasa membuka peluang supaya dapat memberi akses kepada penyelidik dalam mengali sedalam mungkin tentang diri seniman mahupun karya agung seniman melalui penyaksian dan pembuktian dalam pameran sebegini untuk menzahirkan gedung ilmu dan pembinaan cabang kesenian.Dalam konteks seni visual, arkival merupakan bahan atau objek sokongan yang membantu masyarakat memahami tentang seseorang individu atau seniman samada menyelami pemikiran, prinsip, aktiviti, praktis dan cara hidup.

No comments: